Wednesday, May 30, 2007

KES LINA JOY KEMENANGAN ISLAM?

Alhamdulillah Kes Lina Joy memihak pada Islam , namun persoalannya apakah perkara ini tidak akan berulang lagi? Sejarah selalu mengatakan sesuatu perkara ada sahaja ulangannya. Apa-apa peristiwa yang berlaku itu , masa terdahulu sudah berlaku . Kerajaan perlu memperbaiki sistem mahkamah syariah agar kes-kes agama ini dapat diselesaikan secara berhemah. Islam menegaskan hukuman bagi mereka yang secara rela keluar agama Islam samada dihukum bunuh ataupun dipenjara seumur hidup , menurut majlis fatwa. Menurut Fatwa Negeri Perlis Indera Kayangan , no: 7667 menerangkan

" Hukum wanita murtad keluar Islam hendaklah disuruh "istitab " (taubat dalam masa tiga hari ). Dan jika masih juga tidak berbuat demekian, mengikut hukum Islam hendaklah dibunuh, tetapi kerana undang-undang Islam tidak dijalankan sepenuhnya di negara ini Malaysia , maka ianya tidak boleh dijalankan. Mengikut pendapat Imam Abu Hanifah orang itu hendaklah dipenjara sehingga mati . Manakala masalah nama pula , jika telah keluar Islam maka hilanglah tanggungjawab Islam pada perkara ini " .

Persoalannya apakah ada peruntukan undang-undang negara kita untuk kes murtad? Kerajaan Islam Hadhari perlulah memberikan suatu kaedah undang-undang yang akan memartabatkan Islam , Islam tidak wajar diperkotak katikkan begitu sahaja. Janganlah kita menjadi kerajaan Negara Islam Hadhari retorik , slogan tapi tiada perlaksanaan. Cakap tak serupa bikin..Janganlah pandai berpuisi sahaja Al Ghazali kucari...lain yang jadi.

Tuesday, May 29, 2007

SILING RUNTUH LAGI

Laporan Harian Metro terbaru Isnin, 28 Mei 2007 mukasurat 26 , 20 siling wad Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani runtuh. Disebalik kejadian ini cuba kita fikirkan sejenak apa yang berlaku , pastinya kontraktor besar memberi sub kepada yang kecil hinggalah yang paling bawah hanya mendapat ciput.Bila kena pada kontraktor terakhir pastilah runsing jika bajet terlampau kecil, lalu dibuatlah juga dengan keadaan bajet yang rendah. Hasilnya begitulah , baru dipakai dah bocor , macam kartun je , segala pihak yang terlibat semuanya mengambil bahagian segala kecacatan tersebut. Habis duit rakyat secara membazir, perancangan tak teratur , mereka ingat duit mak bapak mereka..

Friday, May 25, 2007

ISU MANCESTER UNITED VS AFC

Memang sah ianya didokongi, didalangi oleh insan yang berkepentigan untuk membuat untung atas kunjungan MU ke Kuala Lumpur. Apa perlunya MU datang dalam kerangka untuk memperingati dan mengimbau sejarah kemerdekaan ? Apa logiknya MU dapat menaikkan semangat kecintaan terhadap negara? Semua itu omongan kosong semata -mata , mereka itu hendakkan untung atas angin sahaja. Kalau ye pun nak memperingati kemerdekaan buatlah kunjungan bekas-bekas askar , polis yang berkhidmat ketika sebelum merdeka. Ulasan Khairy agar AFC menghormati kerajaan itu amatlah bodoh, siapa beliau yang boleh menentukan arah tuju AFC . Sepatutnya kabinet tidak mencampuri urusan AFC , silap hari bulan Malaysia ( FAM ) akan tersingkir daripada gabungan bolasepak Asia. Masa tu baru padan muka. Apakah gemburan ini saja diwujudkan Khairy agar rakyat terlena teremosi terangsang marah terlupa langung isu sebenar keadaan ekonomi rakyat keseluruhannya. Ekonomi kita semakin teruk , lihat kedai-kedai runcit lengang, kedai makan kurang orang, yang banyaknya window shopping pasaraya besar. Janganlah pihak media bersekongkol dengan pihak pemerintah untuk mengalih pandangan perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang lebih penting iaitu keadan ekonomi , sosial , jenayah amat meruncing sebenarnya. Kami dapat melihat apa agenda sebenar mereka mewujudkan pertelagahan Mancester United /Kerajaan Malaysia vs AFC. Kabinet tak payahlah campurtangan isu ini ,hangpa dibayar oleh rakyat adalah untuk hal-hal rakyat yang penting...penting ...penting..

Tuesday, May 22, 2007

GAJI NAIK TANDA PILIHANRAYA DEKAT

Pak Lah telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam 7.5% sehingga 35% , syabas untuk anda semua semoga kerja kuat , tiada lagi aduan ponteng kerja, mengulat waktu kerja dan sebagainya. Namun mengapa pula dituding jari seolah-olah peniaga akan menaikkan harga sesuka hati. Bagi peniaga kecil yang bergantung kepada orang tengah tiada apa yang boleh dibuat, andai kata barang dinaikkan 10% , peniaga kecil terpaksa juga menaikkan harga barangan jualan. Apatah lagi dengan persaingan pasaraya besar , rangkaian kedai-kedai ternama , pasti peniaga kecil akan gulung tikar suatu hari nanti. Cuma dikesalkan kerajaan tidak pernah melihat skop yang lebih besar , contahnya: mengapa kerajaan membenarkan kenaikan harga minyak walhal keuntungan syarikat Petronas masih terlalu besar , namun desakan rakyat supaya harga diturunkan tidak diendahkan , kerajaan lebih mengutamakan syarikat besar ataupun terdapat agenda agar keuntungan disalurkan kepada syarikat kroni untuk tujuan pelaburan lain kononnya. Minyaklah penyebab utama kenaikan harga barangan, takkanlah kerajaan tak tahu , bagaimana kita nak menghantar barang , bekalan , makanan dan sebagainya tanpa minyak .Bila minyak naik pasti harga kos pengangkutan naik , seterusnya harga barang naik . Teori ekonomi mudah, budak sekolah tahun tiga pun boleh tahu. Contoh ke dua, rakyat sering dipersalahkan berbelanja mengikut nafsu membeli bukan barang keperluan , tapi bagaimana pula kerajaan , perancangan Marina Harbour kerugian jutaan ringgit , rancangan tanaman padi atas bumbung di Kedah juga rugi, bagaimana pula kos pembaikpulih bangunan parlimen tahun 2004 tidak termasuk kos untuk bumbung bocor, dan bermacam-macam lagi projek yang jelas merugikan duit rakyat . Sepatutnya siapa yang bertanggungjawab sebagai pengarah projek harus undur diri atau dipecat. Tengoklah siri Apperantis di TV3 suatu ketika dulu. Pengarah projek antara yang dipanggil kebilik pecat.
Salahkah lagi rakyat...rakyat bukan bodoh dah.., cuma kami kadang-kadang terpaksa buat bodoh supaya boleh cari makan.....

Monday, May 21, 2007

KEMELUT MAN UTD. VS AFC

Inilah kemelut terbaru yang dipapar oleh pihak media , AFC tidak memberi lampu hijau kepada pihak tertentu yang ingin membawa pasukan bola Manchester United pada ketika kejohanan anjuran AFC berlangsung sehinggakan PM sendiri dilapurkan akan berunding dengan pihak AFC untuk menyelesai kemelut ini. Ha...bola lebih penting daripada masalah rakyat yang lain , banayk lagi jalanraya tidak diturap (Baling ) , masalah setingan ( Berembang ) , masalah tahanan ISA , masalah siling bocor ( Parlimen ) , masalah siling kantin mahkamah bocor, masalah kenaikan harga tepung , masalah kualiti ahli parlimen (Kinabatangan , Jasin ) , MASALAH RASUAH , RASUAH , RASUAH dan pelbagai lagi yang perlu diutamakan. Rakyat memberi gaji kepada anda semua ahli parlimen , kabinet , Menteri , Perdana Menteri adalah untuk menyelesaikan perkara yang memberi masalah kepada rakyat , bukan hanya memberi tumpuan perkara kesampingan . Bukanlah kita tidak memberi ruang untuk peminat bola , tetapi menurut Yusuf Al Qardawi perlulah kita utamakan perkara yang lebih utama. Dalam hal ini tentulah masalah rakyat perlulah disegerakan seperti mana segeranya bulldozer ke Ijok untuk menurap jalan , segeranya bantuan diberikan kepada penduduk Ijok untuk pembangunan rakyat, janganlah hingga wakil rakyat mati barulah bantuan nak diberi ,apa makna bantuan itu ? Mengapa kes Ijok bantuan segera boleh diberi walhal banyak lagi masalah rakyat yang lain tidak disegerakan ? Rakyat jangan diperbodohkan..

Thursday, May 17, 2007

TOL PLUS NAIK MULAI JANUARI 2008

Tol Plus akan dinaikkan 10 % daripada 13.6 sen kepada 14.96 sen sekilometer , itulah harga yang dibayar oleh rakyat terhadap kesetiaan pada parti pemerintah , Barisan Nasional. Pada tahun 2006 keuntungan PLUS lebih 1 bilion tidak mencukupi buat pemilik konsesi lebuhraya Plus ini. Mereka dengan mudah menaikkan kadar tol yang direstui oleh kerajaan tanpa mengira keadaan ekonomi semasa jua keadaan rakyat yang berhempas pulas siang dan malam menyara keluarga , membayar perkara-perkara yang sepatutnya dikadarkan secara harga sederhana demi untuk rakyat. Tugas pembinaan jalanraya selesa asalnya tugas kerajaan memerintah , namun setelah penswastaan dilakukan syarikat kroni telah mencabuli tugas tersebut dengan sewenang -wenangnya memeras rakyat secara terhormat. Kerajaan sentiasa melagukan lagu rakyat agar berkorban untuk pembangunan kononnya , namun pembangunan itu dilakukan bukan penuh terancang tetapi melepas batuk di tangga serta tergesa-gesa seperti mana berlaku di Ijok. Apa lagi yang tak naik ketika ini , tol naik , tepung naik , minyak masak naik , tambang bas naik ,minyak dah lama naik , indeks jenayah naik , kes bunuh naik , semua naik-naik belaka , rakyat masih lagi buat toya , biarlah ,biarlah , biarlah , cuma kasihan tengok rakyat kita membanting tulang tapi terpaksa membayar segala-galanya .Bilalah agaknya BA nak naik memerintah...

KEJADIAN JENAYAH MEMBIMBANGKAN

Dewasa ini sering kedengaran tiap-tiap hari kejadian jenayah rogol , seks, bunuh dan bakar, penemuan mayat lama , rogol dan bunuh , penculikan dan sebagainya. Bahkan didalam rumah sendiri kita masih ketakutan .Sepatutnya indeks jenayah kita boleh diturunkan jika tindakan proaktif kerajaan melaksanakan pembaharuan sistem keselamatan negara. Kerajaan perlu meningkatkan kecekapan anggota polis dalam tindakan membenteras jenayah sebelum ianya berlaku. Rondaan polis hendaklah dibuat secara tersusun agar penjenayah merasa takut untuk membuat sesuatu jenayah. Janganlah kecekapan anggota polis hanya tertumpu pada aspek tertentu didalam kes politik sahaja .Polis amat cekap menentukan peratusan pengundi pro BN ataupun BA ketika pilihanraya, juga cekap menangkap ahli demonstrasi yang ingin membuat keganasan letupan molotov dan sebagainya.Polis cekap memantau sesuatu kawasan kependudukan pro BN ataupun BA . Inilah akibatnya keutamaan untuk rakyat keseluruhan tidak diutamakan. Banyak hal sepatutnya polis ditugaskan untuk mencari penyelesaian secara berhemah bukan membuat provokasi dan berat sebelah terhadap sesuatu kes. Ianya perlu dihalusi serta ditimbang secara adil dan saksama. Rakyat berhak mempertikaikan kecekapan anggota polis yang ditanggung sepenuhnya pembayar cukai duit rakyat.

Tuesday, May 15, 2007

PILIHANRAYA KIAN HAMPIR

Akhir-akhir ini penulis sedikit sibuk , maka tiada ruang untuk memberi sebarang ulasan terhadap perkembangan mutakhir negara. Namun jangan kita semua lalai , tanda-tanda pilihanraya amat jelas sekali. Pertemuan Pak Lah dengan anggota parlimennya di Pangkor merupakan strategi menghadapi BA dengan menggunakan segala taktik dan teknik menyeluruh untuk digunapakai seluruh negara . Ya amat membimbangkan ! Media pula menonjolkan paparan bahawa memang kerajaan Pak Lah adalah bersih , tak mengira pangkat dan kedudukan yang bersalah tetap bersalah , ianya hanyalah lakunan sementara untuk menyesongkan tanggapan rakyat terhadap kerajaan. Kes anak senator yang menyalahgunakan AP itu semata-mata untuk mengaburi pandanagn rakyat terhadap kerajaan hadhari ini. Jangan toleh lagi wahai rakan teruskanlah obor tentangan kita terhadap BN yang menyalahguna kuasa demi kepentigan anak menantu , kroni dan sahabat. Kes Tan Sri Eric Chua masih tergantung lagi , ntah-ntah dia mati dulu , baru keputusan keluar .BA perlulah bersedia untuk menghadapi pilihanraya ini, perkemaskanlah daftar pemilih , susunlah jentera sebaik mungkin. Pilihanraya sudah hampir.................

Monday, May 7, 2007

ANALISIS PENGUNDI DI IJOK 2007

Kita bahagikan mengikut kawasan pengundian,

1. BUKIT BADONG , 1630 Melayu , 43 Cina , 240 India , PKR 826 undi , BN 838 undi,majoriti BN 12 undi. Kawasan majoriti Melayu menunjukkan keseimbangan populariti antara BN dan PKR ,
kawasan berpotensi untuk pembangkang kuasai pada pilihanraya umum nanti.

2. SETIA JAYA , 1129 Melayu , 1 Cina , 3 India , PKR 327 undi , BN 618 undi ,majoriti BN 291 undi. Pembangkang mesti menguatkan jentera agar ketika waktu mengundi fasa terakhir , para petugas mestilah sentiasa waspada di tempat masing-masing.

3. KAMPUNG IJOK , 945 Melayu , 6 Cina , 41 India , PKR 492 undi , BN 376 undi , PKR majoriti 116 , inilah satu-satunya kawasan sukar ditembusi BN , ianya perlu diperkemaskan lagi agar majoriti bertambah pada pilihanraya umum nanti.

4. PEKAN BERJUNTAI BESTARI SELATAN , Melayu 275 , Cina 534 , India 354 , PKR 338 undi, BN 461 undi , BN majoriti 123 undi , di sini pengundi Cina mendominasi kawasan , maka kempen terhadap mereka oleh PKR perlu diteruskan.

5. PEKAN BERJUNTAI BESTARI UTARA , Melayu 392 , Cina 694 , India 1142 , PKR 641 , BN 1025 , BN majoriti 384 undi .Kawasan ini lebih bergantung kepada undi India.

6. PEKAN IJOK , Melayu 349 , Cina 958 , India 119 , PKR 584 undi , BN 605 undi , BN majoriti 21 , Data menunjukkan orang Cina boleh membuat suatu kejutan yang signifikan terhadap sesuatu kawasan. Boleh dirumuskan kawasan undi Cina melebihi 65 % , calon yang sesuai adalah dari PKR ataupun DAP sahaja.

7. SIMPANG IJOK , Melayu 907 ,Cina 234 , India 84 , PKR 490 undi , BN 529 undi , BN majoriti 39 , kawasan ini boleh dimenangi PKR dengan usaha yang lebih kuat .

8. SUNGAI DARAH , Melayu 506 , Cina 39 , India 598 , PKR 192 , BN 730 , BN majoriti 538 , inilah satu-satunya kubu paling kuat BN, ianya perlu dirobohkan , usahakanlah sesuatu agar pengundi disini memahami keadaan sebenar politik tanahair , kaji sosial pengundi , taraf hidup dan sebagainya.

9. TUAN MEE , Melayu 219 , Cina 21 , India 788 , PKR 142 undi , BN 665 undi , BN majoriti 523 undi , kawasan kedua tertinggi majoriti BN , kira kubu kuat BN juga , perlulah diusahakan agar mereka menyokong Barisan Alternatif.

Inilah analisis yang kita dapati untuk Ijok 2007 , fikir-fikirkanlah strategi yang perlu dilakukan wahai teman-temanku...

National Geographic POD