Saturday, May 31, 2008

Pertemuan MB Perak Dengan Usahawan PAS


MB Perak prihatin masalah rakyat marhaen..

Tanggal 30 Mei 2008 , jam 9.00 malam berlangsungnya pertemuan MB Perak dengan Usahawan PAS Perak bertempat di kediaman MB Perak. Pertemuan membicarakan dialog antara usahawan mengenai perkembangan terkini kerajaan Perak Pakatan Rakyat. Banyak masalah yang terpaksa dilakukan oleh MB dan Exco-exconya memutuskan perkara yang dibiarkan terlalu lama oleh kerajaan BN dahulu. MB dan rakan-rakan terpaksa bermesyuarat setiap Rabu dari 9.00 pagi sehinggalah ke maghrib demi menyelesaikan banyak perkara yang dibiarkan oleh kerajaan dahulu.
Rakyat perlu sedar apabila bebanan kerja hampir kurang, penumpuan agenda lain akan diutamakan seperti memangkinkan ekonomi yang sudah hampir teruk ini. Penyusunan PKNP perlu juga dilakukan kerana syarikat ini terlalu banyak kerugian yang dilaporkan. MB menekankan agar perjuangan ekonomi kita mesti berlandaskan syariah dan akidah yang tulen. Urusan perniagaaan sesama rakyat hendaklah didasari kaedah berdakwah kepada semua. Konsep nasionalis mementingkan kaum semata-mata perlulah dihindari. Persaingan sihat adalah berdasarkan kualiti dan kecekapan. Islam mementingkan kualiti , ketelusan dan kebaikan bukan bertdasarkan warna kulit. Bolehkah pakatan rakyat ini menjangkau budaya ekonomi antara sesama rakyat , bukan setakat pakatan rakyat berpolitik semata-mata? Masa yang akan menentukan..

Wednesday, May 28, 2008

Pejuang Reformasi , Ezam Jumpa PM

Ezam dijangka mengumumkan kemasukan beliau semula ke dalam UMNO , ekoran musuh utamanya Tun Mahathir sudahpun keluar UMNO. Pasti ramai pejuang yang merasakan tindakan Ezam itu kurang tepat. Namun Ezam lebih tahu dan berpengalaman dalam politik mungkin mempunyai percaturan memudahkan Pakatan Rakyat untuk menguasai kerajaan. Andai Ezam mempunyai misi dan visi tertentu pasti Pak Lah dan barisan kepimpinan UMNO yang lain akan mengekori pergerakan dan tindak tanduk beliau. Mungkin Ezam mahu menjadi Anwar yang kedua cuba memperbetulkan kerajaan di dalam kerajaan.
Ezam boleh berbuat demekian jika beliau diberikan suatu jawatan yang amat penting untuk membuat perubahan-perubahan yang sealiran cita-cita politik beliau. Hishamuddin , Khairy dan ramai lagi pimpinan pemuda UMNO pasti mencemburui Ezam seperti mana Anwar suatu ketika dulu. Fitnah yang terpalit ke atas Anwar adalah disebabkan cemburu itu. Adakah Ezam bersedia untuk semua itu? Politik UMNO penuh onak dan duri , yang benar tidak semestinya akan ada kuasa, yang berkuasa hanyalah mereka yang menjalankan politik bunuh membunuh. Politik cah keting , cantas mencantas adalah budaya politik UMNO. Ianya berlaku tak kira di peringkat bawah mahupun atas. Andai Ezam bersedia maka kita lihatlah perjalannya nanti...
Semoga Ezam dapat membersihkan UMNO yang penuh dengan politik kotor , cantas mencantas politik rasuah , politik projek , politik komisen dan sebagainya..
Selamat berjaya Ezam...

Friday, May 23, 2008

Bagaimana Ezam Boleh Menimbang Untuk UMNO?

Inilah perkara pelik dan ajaib buat Ezam pada pandangan peribadi saya. Beliau bersungguh-sungguh melawan ISA , pembebasan Anwar , melawan rasuah dan penyelewengan tiba-tiba mungkin memikirkan samada masuk UMNO ataupun tidak. Ezam seseorang yang punya prinsip , adakah beliau merasakan tindakannya itu dapat membersihkan segala kekotoran yang ada pada UMNO , mungkin beliau menggunakan alasan ingin mencuci UMNO dari dalam kononnya? Bolehkah Ezam membersihkan UMNO ? Berapa tahun Ezam boleh mencapai matlamatnya mengsifarkan rasuah dan penyelewengan di dalam UMNO?
Mengapa Ezam berubah arah? Persoalannya akan terjawab sekembali beliau dari Jakarta Selasa nanti. Ramai pihak tertunggu-tunggu jawapan dari Ezam.
Adalah lebih baik Ezam masuk PAS yang mempunyai ciri-ciri sebuah parti yang lebih baik dan ideal. PAS bukanlah parti perkauman , namun Islam adalah tunjangnya. Kita perlu melihat senario terkini rata-rata politik perkauman tiada lagi dalam kehidupan moden ini. Ia sudah ketinggalan zaman.Kemasukan Ezam ke dalam PAS akan memperkemaskan jentera parti , memperkasakan parti , menggerakkan parti ke arah lebih progresif dan dinamik. Bukanlah selama ini PAS keterbelakang , namun dengan pengaruh Ezam ianya menjadi suatu anjakan ke arah lebih maju dan gemilang buat PAS. Ezam harus memikirkan semasak-masaknya keputusan yang beliau ambil. Sejarah sudah membuktikan bagaimana fitnah yang diterima Anwar tatkala membuat keputusan masuk UMNO ketika tahun 1982 dahulu. Sejarah ini pasti berulang-ulang.
Keputusan orang-orang yang mempunyai pengaruh besar ke atas rakyat perlu diperhalusi oleh individu tersebut dalam sumbangannya ke arah mencapai matlamat hidup terbesar di dunia ini...
Ezam lebih tahu parti mana yang sesuai buat beliau..

Pakatan Rakyat Memang Hebat

Bagi anda yang ingin mengetahui bagaimana rumitnya sesebuah negeri seperti Perak ini untuk diuruskan, bukanlah rumit disebabkan tiada pengetahuan namun sebab sikap pentadbir-pentadbir yang masih lagi membawa dasar yang dipegang oleh bos lama mereka. Pentadbir ini jelas lebih mengikut arahan bos lama secara sulit walaupun mereka (pentadbir ) ini gajinya dibiayai oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan panjang kerana kesusahannya akan dirasai oleh rakyat. Bagaimana MB hendak memantau semua kakitangannya , maka eloklah diadakan tugas tertentu untuk memantau kakitangan yang membuat celaru dalam tindakan dan perlaksanaan kerja.Ketika MB Perak ingin memberi sumbangan terhadap miskin tegar , maka senarai yang diguna masih lagi senarai lama , maka kerajaan Pakatan Rakyat perlu mendapat input mengenai penduduk yang betul-betul miskin tegar dari semua golongan agar tiada yang terpinggir.
Masalah mungkin berlaku andai Ketua Kampung atau Mukim masih meminggirkan golongan yang lain partinya dari UMNO suatu ketika dulu , yang hak dari parti lain dipinggirkan. Ini menyebabkan perlaksanaannya menjadi tidak tentu arah dan matlamat tidak akan tercapai.
Kerajaan Pakatan Rakyat wajar memutuskan perkhidmatan mereka yang tidak bertuankan kerajaan baru , kerana mereka ini akan menjadi duri dalam daging. Bagaimana ingin menghapuskan mereka itu? Kerajaan Pakatan Rakyat perlu membuat temuduga yang akan diwajibkan ke atas semua jawatan yang ditawarkan. Setelah itu pastikan mereka ini betul-betul bekerja secara profesional untuk rakyat tanpa meminggirkan seorang pun dari mana parti sekalipun.

Wednesday, May 21, 2008

Warkah Buat Pakatan Rakyat..


Pakatan Rakyat tidak perlu terikut-ikut drama sketsa daripada bekas Presiden UMNO , Tun , masalah parti UMNO dimana Tengku Razaleigh ingin melawan Pak Lah , drama kononnya ramai MP akan berpindah ke Pakatan Rakyat dan bermacam-macam drama yang lain.
Pakatan Rakyat harus menumpu agenda memperkasa ekonomi rakyat yang nazak , pengawalan harga barang agar tidak naik terus , mencari alternatif minyak yang komersial dan berdaya saing, bagaimana mencari sumber-sumber lain sebagai alternatif untuk jangka masa akan datang. Segala-galanya perlu difikirkan agar nanti kelak memerintah tidak panik untuk memerintah negara ini.
Fikirkanlah kemungkinan penggunaan tenaga nuklear , penggunaaan solar agar ianya menjadi murah dan mudah agar rakyat akan selesa , itulah tugas pemerintah teladan. Walaupun belum lagi berkuasa cubalah kita menjadi pemerintah yang akan muncul , bukan lagi pembangkang. BN semestinya tidak memberikan Pakatan Rakyat suatu bentuk pemikiran sebagai pemerintah sebagaimana orang putih terdahulu yang menganggap orang Melayu hanyalah tahu bertani , menjadi nelayan dan sebagainya.
Pakatan Rakyat perlu dimotiwasikan oleh pakar-pakar motiwasi terkenal , dapat memobilasasikan pemikiran rakyat agar proses perubahan berlaku ke arah yang lebih baik. Itulah sebaik-baik agenda buat Pakatan Rakyat.
Kita perlu sedar adanya agenda tertentu oleh Tun , dan sebahagian yang lain ingin mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar negara yang akan musnah andai BN memerintah. Kita juga hairan bagaimana TV3 , Berita Harian dan alat propaganda BN membiarkan sahaja laporan-laporan yang seakan-akan membunuh BN, namun hakikatnya mereka saja yang tahu.
AWASLAH PROPAGANDA BN..MEREKA AMAT LICIK..RAKYAT WAJIB SEDAR..

Tuesday, May 20, 2008

Tun Mahathir Keluar UMNO..


Tun Mahathir dan isteri telah mengisytiharkan keluar UMNO sehinggalah pucuk pimpinan bertukar tangan. Sanusi Junid , rakan setia beliau juga telah setuju keluar bersama , mengasingkan diri , mufarrakah dengan UMNO , kononnya pentadbiran Pak Lah lemah. Apabila diteliti sedalamnya Pak Lah adalah pemimpin yang mewarisi kepimpinan Tun , acuan Tun , pemimpin yang telah mendapat ilmu dan corak kepimpinan UMNO terdahulu. Amatlah malang kerana mereka tidak dapat mengekalkan pimpinan yang berkualiti dan hebat untuk rakyat , agar rakyat dapat hidup lebih selesa , aman dan tenteram.
Apakah keluarnya Tun dan rakan-rakan memberi suatu kesan positif buat UMNO dan sahabat BN? Inilah persoalan isu keluarnya Tun? Adakah senario politik akan berubah selepas Tun keluar?
Mengapa Tun keluar UMNO yang telah dipuja dari dahulu , dan ketika kuasa tiada maka beliau mengambil keputusan keluar?
Mungkinkah Pak Lah membiarkan kes Lingam menjadi tontonan rakyat , maka Tun berasa kecil hati. Isu kerajaan memohon maaf terhadap Tun Salleh Abas , isu Lingam , dapat juga dikaitkan keluarnya Tun. daripada UMNO.
Apabila kita melihat politik Amerika , politik perkauman berdasarkan warna kulit hampir pasti berubah tatkala Barrack Obama mungkin menghampiri menjadi Presiden Amerika. Politik perkauman itu jelas semakin lama semakin ditolak oleh semua pihak. Pastinya senario begitu akan juga mempengaruhi keadaan politik Malaysia.

Friday, May 16, 2008

BPR Kena Siasat Rahman Dahlan MP Kota Belud


Kenyataan Rahman Dahlan dalam TV3 , menyatakan bahawa beliau dihubungi orang tertentu dan ditawar sejumlah habuan yang boleh pakai hingga dua tiga generasi , andai beliau melompat ke Pakatan Rakyat merupakan satu isu serius yang mana pihak BPR wajib menyiasat. Kalau dulu Nik Aziz pun boleh disiasat , apatah lagi Rahman Dahlan.Janganlah TV3 hanya membuat propaganda murahan menyamakan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional yang penuh dengan masalah.
BPR mesti segera menyiasat jika mahu dihormati sebagai agensi betul-betul bersih dan bersifat amanah. Kalau tidak rakyat akan mengejek kamu semua , cakap tak serupa bikin. Kononnya BPR sudah banyak membuat perubahan , tapi rasanya perubahan sekadar menukar jawatan menteri dan pengarah-pengarah sahaja namun kualiti kerja sama macam dulu , ikan bilis ditangkap , ikan jerung semua takut.....

Saturday, May 10, 2008

Jika Pakatan Rakyat Memerintah..

Ingatlah kita dengan janji Anwar , perintah sahaja negara ini hari ini , besoknya harga minyak turun. Pada realiti keadaan semasa sekarang harga minyak pasaran dunia mencecah USD 120 , maka penurunan minyak mengakibatkan subsidi minyak untuk rakyat meningkat. Adakah perkara ini boleh dilakukan Anwar? Pak Lah dan rakan-rakan pastilah diatas kapasiti pemerintah negara ini menafikan perkara tersebut boleh dilakukan. Namun Pak Lah ketika krisis makanan berlaku menyatakan wang kita terhad dan membekukan projek pembangunan kononnya untuk subsidi makanan , walhal yang diumumkan cuma 4 bilion sahaja. Sebelum ini Pak Lah banyak sekali melancarkan pelbagai projek koridor meliputi seluruh Malaysia yang perbelanjaannya sehinggakan ratusan bilion. Boleh pulak melancarkan koridor sedemikian dalam keadaan kantung sudah berkurangan.
Kesan ekonomi sudah ketara , kalau anda lihat di restoren-restoren , pelangganpun sudah berkurangan sekitar 40 peratus, kedai-kedai runcit pula berkurangan pelanggan sekitar 30 peratus , harga barangan naik menggila , rakyat menjadi sedikit panik seterusnya inflasi akan meningkat. Pelabur asing tatkala melihat lagi kepimpinan negara yang tidak berubah menjadi lebih baik , telus , bersih pasti khuatir wang mereka dilaburkan di negara ini. Anwar harus cepat dan segerakan proses peralihan kuasa dari BN kepada Pakatan Rakyat , jangan nanti ketika itu krisis ekonomi bertambah buruk. Akibatnya nanti rakyat yang menderita..

Thursday, May 8, 2008

YB Lim Guan Eng ..vs ....Lee Kuan Yew


Mendengar cerita YB Lim Guan Eng , Ketua Menteri menaiki pesawat kelas ekonomi memang amat mengharu-birukan hati sesiapa yang melihatnya. Beliau berbuat apa yang dicakapnya ketika ini. Persoalannya adakah segala polisi yang dibuatnya akan memberi faedah buat semua rakyat , tanpa mengenepikan kaum Melayu yang menjadi tonggak asas negara Malaysia ini?
Apakah istiqamahnya itu berterusan ataupun sekadar tarikan politik semata-mata? Ianya perlu diperhalusi sedalam-dalamnya.
Sejarah dahulu ketika Lee Kuan Yew , diceritakan beliau ini amat senang dengan orang Melayu , pandai bertutur bahasa Melayu , pandai tulisan jawi dan apa sahaja masalah orang Melayu ketika itu mudah saja diselesaikan. Kini , Singapura yang gagah perkasa antara negara yang terbaik di dunia , lebih banyak meminggirkan orang Melayu , dari segi politiknya ; orang Melayu hanya menjadi menteri menjaga hal ehwal agama Islam sahaja, dari segi pentabdiran ; bilangan pegawai besar Melayu amatlah kurang , kononnya berdasarkan merit , mungkin Melayu tak layak pegang jawatan tinggi, dari segi sosianya ; kaum Melayu juga mengungguli masalah sosial disana, mungkin yang menjadi kebanggaan di Singapura , nyanyian lagu negara masih lagi Bahasa Melayu..
Harapan orang Melayu di Malaysia agar ketuanan Melayu sebagai kaum utama negara ini masih dihormati , sistem keadilan yang bakal dilaksanakan tidak meminggirkan kaum Melayu yang berhak.

Karpal Singh Buat Hal

Karpal Singh membuat kekecohan mempertikaikan kuasa Sultan mencampuri JAIP..ia adalah sesuatu yang amat cetek dan dangkal buat Karpal , golongan tua DAP yang masih bermimpi ketika zaman PAP Lee Kuan Yew..
Beliau sepatutnya lebih terbuka dan mengiyakan tindakan Sultan Perak kerana negara ini adalah negara raja berperlembagaan. Beliau sebagai peguam senior lebih arif namun masih lagi bersifat gelojoh dan kebudak-budakan. Kes ini menyebabkan sedikit kesusahan buat rakan Pakatan Rakyat dalam menjawab isu ini. Jelas Karpal adalah golongan yang akan pergi membawa sikapnya yang amat prejudis terhadap sistem perlembagaan Malaysia.

Kijang Care Sekali Lagi Selamatkan Nurul Wahida Hamzah

ihsan Beritaharianonline.com
Sebulan dua ini Kijang Care mengorak langkah menyelamatkan Nurul Wahida Hamzah , wanita Melayu yang bernikah dengan warga Indonesia dan menetap di Lombok , Indonesia. Harian Metro ada melaporkannya , namun tiada diceritakan ia adalah NGO di bawah kelolaan YB Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Kes bermasalah adalah dari Perak , Kijang Care tidak memilih bulu atau warna kulit terus berbakti dengan masyarakat berharapkan sumbangan orang ramai .Berbekalkan dana kecil mereka dapat memberi harapan ke atas rakyat Malaysia. Kijang Care kini bertarafkan nasional.
Bagaiman pula Balkis yang mempunyai 9.9 juta wang? Untuk apa wang dibelanjakan..hanya makan-makan, untuk orang-orang besar yang susah dan merempatkah?

Monday, May 5, 2008

Ketuanan Melayu Ketuanan Islam

Hari ini ada seorang rakan mengadu kepada saya , kalangan cikgu sudahpun digempur oleh BTN Biro Tata Negara yang funsinya untuk mengelirukan fahaman seseorang agar menjadi lebih nasionalis Melayu , dan meminggirkan Islam sebagai terasnya.
Melayu mula risau dan cemas memikirkan nasib bangsa setelah kekalahan PRU 12 ini , namun persoalannya Melayu yang mana risau?
Kita boleh lihat bagaimana Politik Melayu melemahkan Melayu , Melayu UMNO telah membogelkan bahasa Melayu apabila pengajaran Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris seterusnya soalan juga di dalam Bahasa Inggeris. Adakah kita merasakan bahawa orang Melayu terlalu bodoh sehingga tidak boleh berkomunikasi dengan orang asing melalui Bahasa Inggeris , maka perlulah BI digunakan sebagai bahasa pembelajaran dan juga peperiksaan?
Selama ini cerdik pandai Melayu di dalam Sains dan Matematik boleh pula mendapat ilmu tersebut melalui bahasa ibunda?
Soal bahasa sudah cukup dirasakan Melayu UMNO membunuh budaya Melayu itu sendiri. Orang Melayu menterjemahkan amarah mereka kerana kerajaan tidak lagi memartabatkan Bahasa Melayu , orang Melayu cukup bersopan santun sehingga di negara sendiri bahasa Melayu dipinggirkan.Siapa akan menggunakan bahasa Melayu melainkan orang Melayu jua?
Melayu UMNO telah membunuh bahasa Melayu , membunuh jawi , membunuh sekolah agama rakyat secara halus.Bila bantuan tidak diberi maka Melayu akan luntur satu perstu menyembah bumi.Itulah jasa UMNO untuk bangsanya sendiri.
Ketuanan Melayu hanya boleh dibela dan dijaga oleh selain parti UMNO. Ketuanan Melayu mestilah berpaksikan agama Islam andai mahu terus hidup.Mna mungkin UMNO dapat mengambil Islam sebagai pedoman?
Lihat sja pimpinan mereka , pandai menutur kata-kata Islam , namun dari segi pengamalannya jauh api dari panggang. Cakap tak serupa bikin.Kembalikan Bahasa Melayu ke tempat asalnya.

Friday, May 2, 2008

Siaran Langsung Dewan Rakyat Perlu

Apalah Shabery Chek ni , biasalah barang baru mesti panas dan lebat..jadi soal untuk meneruskan siaran langsung atau tidak tak perlulah diungkitkan. Rakyat hanya diberi 30 minit peluang sahaja..itupun kalau kerajaan berkira juga , hangpa semua kena ingat semua yang hangpa dok atas tu..semuanya duit rakyat..setakat 30 minit nak berkira dengan rakyat..bukannya 24 jam..
Shabery ni biasa la , tugas dia Menteri Penerangan , memang statement ni yang keluar..kerja dia.
Mungkin nak tunjuk kat bos ..aku ni lebih UMNO dari orang UMNO yang lain..PAS , Semangat 46 apatah lagi.
Soal rugi atau tidak berbaloi atau tidak bukan soalnya..rakyat mahukan siaran kerana ingin melihat siapa yang bekerja ..siapa yang tidur..siapa yang ponteng dan sebagainya.Kalau nak kata rugi..kerajaan lagi banyak merugikan duit rakyat..batal jambatan kat Johor tu ratusan gantirugi pampasan..250 juta lebih..

Thursday, May 1, 2008

Akaun Balkis 9.9 juta..Kijang Care 6 Ribu..

Kijang Care dapat membuat sedikit kebajikan kepada rakyat dengan membawa adik Siti Nur Azreen pulang ke pangkuan keluarga. Namun bagaimana pula Balkis yang diberitakan punyai wang 9.9 juta dalam akaunnya.Adakah kesemuanya diguna untuk keperluan perut dan akhirnya menjadi najis? Atau kita hanya berbakti untuk keluarga orang-orang besar?
Itulah UMNO , perjuangan mereka adalah sekitar untuk tembolok mereka sahaja, kaum miskin dan susah merempat merata tempat tiada siapa peduli. Kaum pemerintah sebegini tak boleh dibiarkan berkuasa. Rakyat mahu pemerintah mengambil berat hal ehwal rakyat seperti mana Saidina Umar Al Khattab yang menyamar miskin lalu menemui orang miskin yang kelaparan bersama anak-anak mereka.Baginda lalu pulang dan memikul sendiri gandum untuk diberikan kepada keluarga miskin itu. Baginda juga memasak gandum tersebut.Begitulah sifat ketua negara yang benar-benar menjaga amanahnya..Perdana Menteri kita boleh buat?
Kita adalah golongan manusia retorik cakap tak serupa bikin..kononnya Hadhari lah..walhal kita hanya mementingkan perut sendiri, perut kroni kita , perut kawan-kawan kita , bukan sang miskin , ibu-ibu tunggal dan orang-orang yang memerlukan...
Belum terlambat lagi kita untuk bertaubat atas perbuatan kita , pintu taubat masih terbuka , maka sewajibnya siapa yang terlibat perbetulkanlah niat kita untuk memberi kebajikan kepada rakyat miskin dan susah.Di kala itu nanti , negara akan jadi aman makmur , tiada kes sosial , menjadilah negara kita diberkati Allah...

National Geographic POD