Saturday, November 29, 2008

Sikap Pilih Kasih ...

Sikap pilih kasih sering berlaku di mana-mana di dunia ini. Lihat sahajalah apabila Israel membunuh ribuan umat Islam , Amerika hanya berkata itu adalah hak mereka mempertahankan diri walhal mereka diserang , begitu jugalah yang berlaku di Malaysia ini. Tindakan menangkap dan menyurai demontrasi secara kasar dan biadap untuk peserta Bersih amatlah mengecewakan. Pada masa yang sama demontrasi yang lain yang didokongi puak sehaluan dibenarkan pula. Mengapa ini berlaku? Apabila perkara sebegini berlaku maka rakyat mula memandang serong terhadap pihak pemerintah yang mengamalkan sikap pilih kasih. Akhirnya rakyat akan terjemahkan ke atas kertas pengundian nanti. Kerajaan ketika era negara tanpa sempadan dengan maklumat di hujung jari , sepatutnya mengambil pendekatan yang logik dan munasabah jika mahu terus memerintah.
Propaganda murahan dan penyelewengan berita tidak boleh lagi diguna pakai dalam menangani masalah rakyat. Rakyat perlu tahu dan kerajaan perlu telus membuat kerja demi untuk rakyat.
Masalah memutar belit kenyataan dan fakta seperti yang dibuat oleh Nazri yang bertaraf menteri mengundang masalah lain. Masakan seorang menteri tidak tahu perkara tersebut (pemecatan) tambahan pula dahulunya ia seorang peguam. Kes sebegini membogelkan kerajaan malah menjahanamkan nanti.

Tuesday, November 25, 2008

Fatwa Kebangsaan Yoga Diharamkan..

Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun memutuskan bahawa yoga adalah amalan yang boleh membawa syirik. Namun majlis agama negeri pula bertindak belum untuk memutuskan pengharaman tersebut. Kecelaruan sebegini menyebabkan pandangan serong bukan Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri. Hal sebegini sepatutnya ditangani dengan cara yang lebih berhemah , perbincangan tertutup perlu diadakan antara pihak majlis agama negeri dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam lebih terdorong bersikap kurang ajar akibat kelakuan umat Islam sendiri yang memperolok-olokkan fatwa. Fatwa yang dikeluarkan berdasarkan kajian mendalam terhadap sesuatu isu oleh pakar-pakar hukum antara mufti berdasarkan ajaran Islam. Perkara sebegini tidak boleh berulang lagi , andai kata ianya berlaku lagi maka kredibiliti Majlis Fatwa dan Jabatan Agama Negeri akan menanggung malu besar. Menteri Agama , Dato Ahmad Zahid Hamidi perlu tegas dan cepat bertindak agar tiada lagi kes memalukan sebegini berlaku lagi...

Wednesday, November 19, 2008

UMNO parti penuh muslihat..

UMNO salah sebuah parti terbesar Melayu selain PAS mempunyai ideologi berteraskan sekular. Pemisahan antara pentadbiran dan Islam sememangnya adalah anutan mereka. Ketika Tun Mahathir membawa masuk Anwar Ibrahim , beliau merasakan gelombang Islam yang melanda Malaysia ketika itu boleh menjadi lebih kuat andai Anwar berada di kem pembangkang. Maka Anwar ditawarkan habuan keduniaan , jawatan dalam kerajaan untuk memperlahankan gelombang itu. Benar percaturan Tun menjadi , PAS terkial-kial memperjuangkan Islam perlahan-lahan. Propaganda kerajaan dan kelibat Anwar menaikkan imej kerajaan dengan konsep Islamisasi. Anwar menjadi jaguh memperjuangkan Islam dengan banyaknya tertubuh institusi Islam seperti Bank Islam dan sebagainya. Kelihatan seperti UMNO ini menurut dan patuh kepada Islam, namun ianya bukanlah setelus hati untuk memperjuangkannya. Islam hanya diperguna untuk memperlahankan rentak perjuangan parti lain yang lebih komited kepada Islam. Pada kebiasaanya UMNO hanya menggunakan Islam untuk kepentingan politiknya terserlah tatkala mereka banyak kehilangan kerusi parlimen di tangan PAS dan PKR. Isu muzakarah adalah suatu kaedah dan tindakan serupa mereka dalam menghadapi Islam PAS.
Pelbagai jenis Islam diwar-warkan bertujuan untuk mengalih perhatian dan mengelirukan sokongan terhadap Islam yang dibawa PAS. PAS dilihat antara yang terbaik wadah memperjuangkan Islam yang menjurus penglibatan politik. Kelemahan dan kecacatan memang wujud namun ianya satu-satu parti politik yang lebih komited dan tegas memperjuangkan Islam.

Wednesday, November 5, 2008

Pesanan Buat Pakatan Rakyat...

Melihat persidangan dewan rakyat sehari dua ini sehingga memaksa Pakatan Rakyat keluar dewan apabila Najib tidak membenarkan walau siapapun baik mantan TPM untuk mencelah ketika perbahasan ekonomi menunjukkan sikap sebenar Najib yang bakal diterima oleh rakyat juga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat nanti. Apabila Najib berkuasa pasti banyak perkara akan beliau lakukan untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat. Najib bukanlah insan seperti Pak Lah yang ada jua terdidik dalam suasana kekeluargaan Islam yang lebih bertimbangrasa. Jelas daripada sikap Najib itu nanti ianya akan terserlah apabila kuasa di tangan beliau.
Tempoh peralihan kuasa ini perlu diguna pakai sebaiknya Pakatan Rakyat agar memacu laju momentum untuk menumbangkan Be End. Tatkala Najib menjadi PM , mungkin segala peluang ini hampir pasti tertutup.

Monday, November 3, 2008

Dana KWSP 5 bilion Untuk Value Cap...

Dana KWSP sebanyak 5 bilion diperuntuk kepada Value Cap Sdn Bhd untuk menaikkan nilai saham yang telah jatuh. Penggunaan wang KWSP boleh digunakan kerajaan bila-bila masa kerana rakyat Malaysia yang mencarum wang bekerja mereka amat prihatin dan mengambil berat syarikat-syarikat bermasalah seperti Value Cap. Diberitakan ianya adalah pinjaman sahaja dan kerajaan membenarkan penggunaan wang KWSP berdasarkan kekukuhan syarikat Value Cap yang berdaya maju. Namun jika syarikat lain yang kurang maju ataupun tidak memberi keuntungan memang tidak bolehlah berangan-angan untuk mendapatkan dana KWSP ketika ini.
Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap kemurahannya yang membiarkan sewenangnya pihak-pihak terbabit menggunakan wang mereka untuk tujuan-tujuan menyelamatkan syarikat besar yang mempunyai aset berbilion-bilion. Sebenarnya kerajaan boleh memberi sedikit keselesaan dan melonggarkan sedikit kesempian ekonomi rakyat dengan membeli syarikat PLUS dengan harapan agar tol dapat dikurangkan. Cara ini akan dapat memberi sedikit bonus kepada pemerintah untuk mendapat sedikit nyawa agar mereka terus hidup sehingga PRU 13 nanti. Ketika rakyat terhimpit akibat kemelesetan ekonomi dunia , kerajaan wajar berhemah dalam perbelanjaan , mencari jalan agar kesempitan ini dikongsi sedikit oleh pemerintah agar pemerintah dilihat lebih merakyat ataupun prorakyat.

National Geographic POD