Monday, February 9, 2009

Hikayat Abdullah...





Petikan daripada Hikayat Abdullah...

Bahagian Penutup...mukasurat 382..

"Setelah tamat bahagian pertama hikayatku itu, aku duduk memikir beberapa lamanya. Dalam usiaku ini , banyak perkara ajaib yang tidak pernah didengar dan dilihat oleh nenek moyangku telah aku saksikan. Sebab segala perkara itu menimbulkan fikiran dalam hatiku, terutama berkenaan kehidupan orang Melayu.Aku lihat hal ehwal mereka , seperti tabiat, kelakuan dan adat, sejak aku kecil sehinggalah umur aku sekarang, mereka bukan semakin pandai, tetapi semakin bodoh.
Setelah aku selidiki , aku dapati ada beberapa sebab. Sebab utama yang mendatangkan kecelakaan ialah kerana kezaliman dan aniaya raja-rajanya terhadap segala rakyatnya, sehingga hati rakyatnya gersang umpama tanah yang tidak berbaja.
Tidak boleh tumbuh sebarang pengajaran, ilmu ataupun kepandaian di dalamnya.Hidupnya seperti pohon kayu di hutan.Ke mana ditiup angin ,disanalah ia rebah. Dia selalu diperintah oleh bangsa lain.Orang Melayu itu seperti ikan kecil yang menjadi makanan ikan yang besar.
Sebab aku mengatakan raja-raja itu zalim dan aniaya kerana mereka sentiasa menghina rakyatnya, seolah-olah rakyatnya seperti binatang. Apabila rakyatnya bertemu rajanya, mereka duduk di tanah, baik becak ataupun kotor.
Apabila raja-raja mahukan anak-anak perempuan mereka ataupun harta benda mereka, diambilnya sahaja tanpa ada perasaan takut kepada Allah.
Perintah atau hukuman ke atas rakyatnya hanya mengikut hawa nafsu, iaitu orang dikasihi diringankan, dan orang yang dibencinya diberatkan hukumannya.
Bagaimana jahat ataupun aniaya anaknya ataupun keluarganya kepada rakyat, dibiarkan dan disembunyikan.Raja-raja menyimpan beratus-ratus hamba.Merekalah yang membinasakan segala rakyatnya , dan membunuh manusia seperti membunuh seekor semut.
Raja-raja hanya mencari keselamatan untuk dirinya shaja , bukan untuk rakyatnya."


Petikan Hikayat Abdulah...Munsyi Abdullah...

No comments:

There was an error in this gadget